Tuesday, May 4, 2010

KaMpUs Di JorDaN


Bila sebut saja mahasiswa,pasti ramai yang beranggapn, iaitu mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang diceburi, mereka yang berkaliber, berkarisma dan mempunyai sifat kepimpinan.Namun untuk mencapai semua itu,berbagai-bagai permasalahan, rintangan dan dugaan yang terpaksa dihadapi dengan tabah dan penuh kesabaran. Sekiranya mahasiswa tidak dapat menghadapinya dengan baik, maka tidak hairanlah kita lihat ramai mahasiswa yang terkandas dipertengahan pembelajaran.

Begitu juga yang dialami oleh mahasiswa Malaysia di Jordan. Segala permasalahan terpaksa diselesaikan dengan baik dan cepat. Ini kerana belajar di negara orang tidak sama dengan belajar di negara sendiri, banyak urusan yang melibatkan kerajaan Jordan perlu dibereskan. Bagi memudahkan urusan mahasiswa Malaysia di Jordan,maka ditubuhkan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan(MSD), Persatuan-persatuan dan badan-badan kebajikan anak negeri. Hal yang demikian kerana, segala urusan yang mesti dilakukan adalah di tempat yang berbeza dan perlu menggunakan bahasa arab untuk berkomunikasi, ini mungkin mendatangkan masalah bagi mahasiswa, khususnya bagi mahasiswa yang baru.

Disamping itu,kewangan juga merupakan permasalahan utama mahasiswa Malaysia di Jordan, lebih-lebih lagi yang datang tanpa penaja atau biasiswa daripada mana-mana pihak, ini kerana matawang Jordan lima kali ganda lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia. Sekiranya mereka (mahasiswa) tidak bijak berbelanja dan peka dengan perbandingan matawang Jordan dan Malaysia, maka akan timbul masalah dalam kewangan mereka.

Penguasaan bahasa arab yang mantap amat penting bagi setiap mahasiswa yang belajar di Jordan. Sekiranya bahasa arab tidak dapat dikuasai oleh setiap mahasiswa, maka akan mendatangkan masalah dan kerugian yang amat besar, hal ini kerana,akan menyukarkan mahasiswa dalam memahami setiap sesi kuliah, jual-beli dan pergaulan dengan orang arab,itupun belum termasuk bahasa ammiah Jordan lagi, pendek kata, penguasaan bahasa amat penting bagi setiap mahasiswa di Jordan.

Seterusnya mahasiswa di Jordan terpaksa menghadapi perubahan cuaca yang tidak sama seperti di Malaysia, iaitu musim sejuk dan musim panas. Hal ini boleh menjejaskan kesihatan jika tidak dihadapi dengan baik. Penempatan juga merupakan masalah yang dihadapi mahasiswa, ini kerana tidak semua universiti di Jordan menyediakan asrama untuk mahasiswa. Oleh itu,mahasiswa terpaksa menyewa rumah atau bilik di luar kawasan universiti. Permasalahan yang timbul apabila tinggal di luar ialah bekalan air yang terhad, keselamatan kurang terjamin, perbelanjaan pergi balik ke universiti dan sebagainya. Di samping itu, penyesuaian diri dengan makanan dan adat kebudayaan di sini juga penting dalam menjalankan kehidupan seharian.

Justeru itu, setiap mahasiswa perlu memperbetulkan niat, matlamat dan tujuan berada di Jordan. Memanfaatkan segala permasalahan yang menimpa, janganlah lihat permasalahan sebagai masalah, sebaliknya lihatlah sebagai tarbiyyah daripada ALLAH S.W.T.. Ingatlah ! Kita semua adalah harapan agama, bangsa dan negara,jadi jangan sia-siakan segala harapan ini, semua sedang menanti kepulangan kita sebagai seorang yang berilmu, berakhlak dan berkerampilan. Semoga segala jerih perih dalam menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini mendatangkan hasil yang terbaik untuk dikongsi bersama umat islam kelak. AMIN..

Disediakan oleh : Saudara Adam b. Abd. Rashid (Ahli RASMI MUTIARA)

Disediakan untuk : Artikal MPPMJ 2009/2010


p/s: Sila amek perhatian kepada sesiapa yang mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara..

0 comments:

Post a Comment

komenlah kalu tak malu.. hehehe sila bagi pandangan yang bernas, semoga menjadi ilmu yang berguna...